KUALA LUMPUR – Skuad kuadran negara mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menundukkan India 2-0 pada aksi final penuh mendebarkan di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Turun dengan harapan besar seluruh negara, Malaysia yang menurunkan Muhammad Afifuddin Mohd. Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi benar-benar menampilkan aksi luar biasa di hadapan ribuan penyokong tempatan.
Pada perlawanan itu, India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Sorokhaibam Malemnganba Singh, Yumnam Akash dan Bobby Kumar terlebih dahulu memberi tekanan kepada Malaysia sejak awal permainan.
Kelincahan India menyebabkan Malaysia berdepan kesukaran mencari rentak, namun skuad negara tidak mudah goyah apabila kekal tenang mengharungi saat-saat genting sebelum berjaya menutup set pertama dengan kemenangan tipis 17-15.
Kemenangan itu nyata menyuntik semangat pemain negara pada set kedua dengan permainan lebih kemas dan tersusun selain tidak memberi ruang buat India bangkit mencari mata kemenangan.
Skuad kendalian Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif terus unggul apabila menutup perlawanan menerusi kemenangan 15-10 sekali gus memastikan gelaran juara dunia kekal milik Malaysia.
Kemenangan cukup manis itu bukan sahaja melengkapkan impian muncul juara dunia di laman sendiri, malah mengukuhkan lagi dominasi Malaysia selepas turut mempertahankan reputasi selaku juara Piala Asia sebelum ini.
Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berbangga dengan kejayaan manis pemain negara yang tampil dengan permainan cukup baik ketika menentang India dan mahu skuad negara memberi tumpuan dalam acara regu berpasukan esok.
“Alhamdulillah di atas kejayaan pasukan kuadran kita pada aksi final pada malam ini. Kalau tengok dari segi prestasi pemain banyak peningkatan daripada masa ke semasa berbanding kejohanan-kejohanan yang terdahulu.
“Pemain negara telah mempamerkan prestasi yang terbaik walaupun berada dalam tekanan dan kita harapkan pemain-pemain akan terus fokus untuk acara berpasukan yang akan buka gelanggang pada hari esok,” katanya.
Lebih bermakna, kejayaan itu turut menutup kekecewaan Malaysia apabila regu negara gagal melangkah ke final selepas tumbang kepada Myanmar 2-0. -KOSMO! ONLINE














