KUALA LUMPUR – Anak bekas pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, Luka Jordy Hodak bakal memperkuatkan skuad Bawah 19 (B-19) negara yang bakal menyertai Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Medan, Indonesia, bermula 1 hingga 13 Jun ini.
Senarai yang dikeluarkan, hari ini menyaksikan pengendali pasukan, Nafuzi Zain turut memanggil Jordy Hodak dan latihan pusat akan bermula, Khamis ini.
Kehadiran Jordy yang kini beraksi bersama NK Trnje FC sebelum ini sudah menjadi perhatian selepas pemain berusia 18 tahun itu memberi bayangan dipanggil menyertai skuad Malaysia menerusi hantaran di media sosial.
Hodak yang juga mantan melatih skuad B-19 negara sebelum ini pernah menyatakan anaknya dilahirkan di negara ini malah isterinya juga adalah warganegara Malaysia.
Senarai panggilan kebangsaan kali ini turut menyaksikan R Pravinash yang kini mewakili kelab di Lembah Klang iaitu MISC – Touchtronics FC turut dipanggil sekali gus beri gambaran pemain daripada kelab swasta juga masih mempunyai peluang untuk menembusi skuad kebangsaan jika menampilkan prestasi konsisten.
Pemain daripada akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi senarai kem latihan pusat kali ini, menyaksikan masing-masing lapan pemain daripada JDT III dan lapan daripada JDT IV.
Pada aksi Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura, Brunei dan naib juara edisi 2024, Thailand. – KOSMO! ONLINE
SENARAI PEMAIN DIPANGGIL
Ahmad Lutfil Hadi Sahabudin, Muhammad Arsyad Mohd Shamsul Aswadi, Muhammad Arif Aiman Za’aba, Muhammad Ierfan Hafizan Muhammad Hafiz, Faez Iqhwan Muhammad Azmi, Januwaar Ahmad Iskandar Gopal, Abid Safaraz Rozaidi, Izzuddin Afif Nazarudin (JDT III), Muhammad Amar Imran Uzaini Ashadi, Arayyan Hakeem Norizam, Aisy Aqasha Noorazhar, Haziq Aziz Ahyok Abdul Qayyum, Muhammad Ilhaam Azani Mohd Azamin, Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman, Muhammad Naqif Firhad Mohd Shafarin, Adam Hakimi Mohd Zaki (JDT IV), Muhamad Irfan Aswad Roslan, Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama (SFC II), Muhammad Danial Hqzeiry Mohd Amin, Muhammad Airel Husainy Yusoff (Selangor B-20), Syazril Izwan Shairunizam, Muhammad Adib Rashidi, Ahmad Zidan Ahmad Fazly (Selangor B-18), Luka Jordy Hodak (NK Trnje FC), R. Pravinash Ravindran (MISC – Touchtronics FC), Muhammad Zafran Raiyan Zulkepli (Kedah FA)














