PUTRAJAYA – Program Road To Gold (RTG) 2026 memasuki era lebih agresif apabila dua muka baharu, atlet angkat berat negara, Muhammad Aznil Bidin dan pemain skuasy lelaki, Ng Eain Yow diserap ke dalam program elit itu bagi memperkukuh misi memburu pingat emas Olimpik pertama negara di Los Angeles 2028.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kemasukan kedua-dua atlet tersebut dibuat berdasarkan potensi semasa serta kemampuan mereka untuk berada dalam kelompok terbaik dunia menjelang Olimpik nanti.
“Fokus kita adalah memperkukuhkan Road To Gold bagi memastikan peluang negara meraih pingat emas Olimpik pertama dapat direalisasikan menerusi beberapa penyesuaian yang telah dilaksanakan.
“Kita juga menilai potensi sukan dan atlet secara keseluruhan supaya program ini benar-benar mampu membantu mereka mencapai tahap tertinggi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat RTG di Kementerian Belia dan Sukan, hari ini.
Selain Aznil dan Eain Yow, Jawatankuasa RTG turut mengekalkan pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom meskipun ranking dunianya terjejas susulan kecederaan lutut yang dialami tahun lalu.
Menurut Taufiq, keputusan mengekalkan Shah Firdaus dibuat selepas mengambil kira proses pemulihan serta prestasi semasa pelumba itu yang berjaya muncul naib juara Piala Trek Jepun minggu lalu.
“RTG mengambil kira tahap kecederaan, tempoh pemulihan dan tempoh kembali bertanding sehingga enam bulan. Shah juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sejak kembali beraksi,” ujarnya.
Dalam masa sama, dua atlet muda berpotensi iaitu Nur Alissa Mohd Farid (berbasikal trek) dan Elvis Presley Anak Clement (akuatik terjun) turut berada dalam radar RTG dan bakal dipantau menjelang Sukan Asia 2026.
Taufiq turut menjelaskan RTG kini beralih sepenuhnya kepada program sepenuh masa yang akan memberi lebih banyak sokongan kepada atlet termasuk elaun prestasi, pendedahan pertandingan antarabangsa, pengurusan pusat latihan khusus dan bantuan sains sukan.
Katanya perkembangan itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang mahu kualiti dan pembangunan sukan perlu dipelihara meskipun berdepan krisis.
“RTG akan jadi program sepenuh masa berbanding sebelum ini yang merupakan program ‘top-up’.
“Elemen-elemen program penuh ini termasuk juga elaun prestasi, elaun RTG, gaji jurulatih, pendedahan pertandingan, pengurusan pusat latihan khusus dan juga program pembangunan, perkhidmatan sokongan berdedikasi serta sokongan sains sukan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam menegaskan kedudukan atlet dalam program tersebut akan terus dipantau secara berkala dengan penilaian dibuat setiap enam bulan berdasarkan ranking dunia masing-masing.
“Prestasi atlet akan dinilai setiap enam bulan dan penilaian kedua tahun ini akan dibuat pada hujung Jun berdasarkan ranking semasa. Tahun lalu syaratnya ranking 10 terbaik dunia, tahun ini lapan terbaik dunia dan tahun depan pula empat terbaik dunia,” jelasnya. KOSMO! ONLINE














