fbpx
Polis merampas peralatan dan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan lima suspek dalam kegiatan curi kabel telekomunikasi di Taiping semalam. - Foto PDRM

Lima lelaki dIberkas ketika leka curi kabel TM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Lima lelaki berusia antara 35 hingga 39 tahun diberkas ketika dipercayai sedang leka mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam satu operasi di sini kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abd Malek Ismail berkata, kejayaan tangkapan itu hasil rondaan berterusan serta kepekaan anggota polis di lapangan yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi membanteras kegiatan jenayah.

Menurutnya, kejadian terbongkar apabila anggota polis yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah terserempak dengan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Serbuan oleh Unit MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berjaya mematahkan aktiviti jenayah itu di lokasi kejadian, sekali gus menggagalkan cubaan mencuri kabel bawah tanah milik syarikat telekomunikasi terbabit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, dua suspek didapati sedang memotong kabel TM, manakala tiga lagi sedang mengangkat serta memasukkan kabel berkenaan ke dalam sebuah lori untuk dipindahkan.

“Kesemua lima suspek berjaya ditahan dan polis turut merampas sebuah lori jenis Daihatsu Delta V57A berwarna merah serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu sekali gus menumpaskan satu lagi rangkaian sindiket curi kabel yang dipercayai aktif di daerah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dipercayai bergerak sebagai sindiket terancang yang menyasarkan kabel bawah tanah yang menjadi nadi sistem komunikasi awam,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN