fbpx
Nancy ketika merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDDIN / KOSMO!

Kes gangguan seksual 2025 meningkat 31.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Statistik kes gangguan seksual di negara ini menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 1,038 kes direkodkan sepanjang tahun lalu berbanding 788 kes pada 2024 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 31.7 peratus.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu turut meningkat berbanding 522 kes pada 2023 dan 477 kes pada 2022 sekali gus membuktikan isu tersebut semakin serius dan memerlukan tindakan tegas semua pihak.

Menurutnya, peningkatan laporan berkenaan juga mencerminkan keberanian masyarakat untuk tampil membuat aduan serta menuntut hak mereka.

“Perkembangan ini menunjukkan perubahan positif dalam sikap masyarakat yang semakin menolak normalisasi gangguan seksual dan lebih peka terhadap kepentingan melaporkan salah laku demi mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk semua.

“Namun, saya percaya masih banyak kes yang tidak dilaporkan kerana mangsa takut, malu atau bimbang kehilangan pekerjaan serta tiada tempat mengadu,” katanya ketika merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di sini, hari ini.

Nancy berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk menggubal Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) bagi menangani isu berkenaan secara lebih sistematik dan berkesan.

Katanya, penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual (TAGS) turut memudahkan mangsa mendapatkan keadilan dengan lebih cepat dan kos berpatutan.

“Sehingga 26 April lalu, sebanyak 92 aduan difailkan dan 69 daripadanya berjaya diselesaikan. Ini membuktikan tribunal ini berkesan dalam mempercepat proses keadilan kepada mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya berani bersuara dan tidak lagi menganggap gangguan seksual sebagai gurauan biasa.

“Tak kira lelaki atau perempuan, semua perlu berani melaporkan gangguan seksual melalui saluran yang betul seperti Tribunal Anti Gangguan Seksual dan pihak berkuasa.

“Kita juga perlu menyokong mangsa agar mereka tidak berjuang sendirian menghadapi pengalaman mencabar ini,” ujarnya.

Tambahnya, pendidikan awal serta advokasi berkaitan hak dan perlindungan terhadap mangsa perlu terus diperkasakan bagi membentuk budaya sifar toleransi terhadap gangguan seksual dalam masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN