fbpx
PEARLY masih belum pulih daripada kecederaan belakang dialami sehingga menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada Malaysia Masters. - ISKANDAR ISHAK

Malaysia Masters: Pearly-Thinaah sah tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketiadaan kelibat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada sesi uji gelanggang Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini akhirnya terjawab apabila mereka disahkan menarik diri.

Perkembangan itu dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu status yang dimuat naik di laman Facebook badan induk itu sebentar tadi sebaik sahaja tamat mesyuarat pengurus pasukan.

BAM mendedahkan, naib juara dunia itu terpaksa mengambil keputusan untuk menarik diri memandangkan Pearly masih belum pulih daripada kecederaan belakang yang menyaksikan dia turut terlepas ke Piala Uber 2026 sebelum ini.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, barisan kejurulatihan terpaksa menarik penyertaan Pearly-Thinaah kerana enggan mengambil risiko biarpun anak buahnya itu memiliki keinginan untuk beraksi.

“Seperti semua sedia maklum, Pearly mengalami kecederaan belakang yang memaksa dia tidak menyertai pasukan Piala Uber baru-baru ini bagi memberi sepenuh tumpuan kepada proses pemulihan.

“Walaupun pemulihan berjalan dengan baik tetapi saya sebagai jurulatih berpendapat, ia masih terlalu awal dan kami tidak mahu mengambil risiko kerana ada banyak kejohanan utama yang akan disertai selepas ini,” katanya.

Ketiadaan Pearly-Thinaah bagaimanapun tidak merencatkan perancangan pasukan negara apabila Malaysia masih memiliki beberapa wakil dalam acara beregu wanita, termasuk Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Chong Jie Yu-Vanessa Ng.

Pada saingan musim lalu, Pearly-Thinaah berjaya melangkah sehingga ke pentas separuh akhir sebelum tewas kepada beregu China, Zhang Shu Xian-Jia Yi Fan 16-21, 21-15, 14-21. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN