fbpx
Keadaan mangsa yang mengalami kecederaan selepas ditikam dalam sebuah kereta di Kepala Batas, Alor Setar malam kelmarin.

Tikaman leher tembus dari kiri ke kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Cinta tidak berbalas atau cemburu menjadi punca seorang ejen hartanah menikam leher ibu tunggal hingga parah di dalam sebuah kereta di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.19 malam itu, mangsa berusia 35 tahun ditikam menggunakan senjata tajam seperti pemutar skru atau alat pemecah ais yang menembusi bahagian kiri hingga kanan leher wanita tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk ­Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa duduk di tempat pemandu, manakala suspek yang berusia 32 tahun pula berada di tempat duduk penum­pang hadapan.

Menurutnya, mangsa yang mempunyai dua orang anak sempat membunyikan hon beberapa kali bagi menarik perhatian orang awam yang berada berdekatan sebelum suspek yang juga seorang duda melarikan diri.

“Tindakan pantas orang awam dan kakitangan sebuah klinik berhampiran yang memberi bantuan awal berjaya menyelamatkan nyawanya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini semalam.

Jelasnya, polis masih mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

“Ia boleh jadi pisau ‘rambo’, alat pemecah ais atau pemutar skru,” ujarnya.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa yang ma­sing-masing bekerja dalam bidang hartanah telah mengenali antara satu sama lain sejak lebih setahun lalu.

“Hubungan mereka dipercayai kenalan yang mana mereka be­kerja dalam bidang sealiran iaitu sebagai ejen hartanah, namun syarikat berlainan. Setakat ini, kita percaya motif kejadian boleh jadi cemburu atau perasaan yang tidak berbalas, namun siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, polis akan memanggil ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa bagi membantu siasatan. Suspek berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas melarikan diri sejurus kejadian.

“Suspek ditahan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) kira-kira pukul 1.50 pagi tadi (semalam) ketika bersembunyi di kawasan rumah ibadat (masjid) di Taman Uda.

“Dia dipercayai melarikan diri dengan meredah kawasan bendang untuk ke lokasi tersebut yang sejauh kira-kira 6.2 kilo­meter,” katanya.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecede­raan parah menggunakan senjata.

Katanya, suspek yang didapati negatif dadah turut mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes sama di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menikam seorang wanita yang didakwa teman wanitanya.

Bagaimanapun, katanya, suspek dilepaskan daripada pertuduhan itu selepas mangsa dalam kes terdahulu tidak berminat untuk meneruskan kes.

Pada 1 Mei lalu, seorang wa­nita yang juga penuntut Kolej Poly-Tech Mara ditemukan maut di tepi jalan di Ketereh, Kota Bharu selepas ditikam sebanyak 61 kali dari bahagian muka hingga kaki oleh seorang lelaki dalam kejadian yang menggemparkan negara.

Motif pembunuhan itu dipercayai akibat cemburu.

Belum pun reda tragedi pembunuhan wanita berusia 19 tahun itu, negara sekali lagi dikejutkan dengan kes tikaman terbaharu membabitkan ibu tunggal tersebut di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, di sini, malam kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN