PORT DICKSON – Pegawai tentera yang dituduh membunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian YouTuber warga Bangladesh di Kuala Lumpur bulan lalu berdepan proses pemberhentian Tauliah Jangka Pendek (TJP).
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman berkata, selain itu, tindakan dalam proses pemberhentian turut dikenakan terhadap seorang koperal membabitkan kes di Bentong, Pahang bulan Mac lalu.
“Kedua-dua mereka merupakan antara lebih 10 pegawai dan anggota yang dikenakan tindakan tegas dalam pasukan sama ada proses pemberhentian mahupun tindakan tatatertib.
“Setiap tindakan diambil cuma kita tidak menguar-uarkan tindakan yang diambil. Jika dilihat sebelum ini, pelaku telah dikenakan tindakan, tetapi kita tidak memaklumkan (hebah) tindakan demi menjaga kerahsiaan atau keselamatan ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai langkah tegas Angkatan Tentera Malaysia melalui penubuhan pasukan khas antibuli, Azhan berkata, pihaknya menyokong pendekatan holistik membabitkan tiga perkhidmatan di bawah pasukan itu.
Malah katanya, TDM melaksanakan pelan tindakan bagi menangani masalah dera atau buli membabitkan strategi jangka pendek dan panjang.














