fbpx
Shazeli menunjukan bunga ganja yang dirampas di KLIA. Foto oleh AFIQ RAZALI

6 keldai dadah ditahan, gagal seludup bunga ganja RM13.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Taktik sindiket antarabangsa mempergunakan keldai dadah untuk menyeludup bunga ganja ke Eropah terus dibongkarkan apabila enam individu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini.

Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 17 hingga 31 tahun itu diberkas bersama dadah seberat 172.8 kilogram (kg) bernilai RM13.85 sejak 6 hingga 10 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati keenam-enam suspek itu memperoleh upah sebanyak €3,000 hingga 5,000 (RM13,000 hingga RM23,000) seorang untuk membawa bahan terlarang tersebut ke Eropah.

Katanya, mereka memasuki negara ini sejak penghujung bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit. Kesemua suspek dipercayai mahu membawa 254 bungkusan bunga ganja itu ke Eropah.

“Siasatan mendapati mereka bergerak di bawah tiga sindiket berbeza,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Menurut beliau, kejayaan itu diperoleh hasil imbasan ke atas sembilan buah bagasi yang dibawa suspek di Terminal KLIA. Lima suspek merupakan warga Eropah, manakala seorang lagi dari negara jiran.

“Seorang daripada suspek tersebut positif tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah. Kesemua suspek direman 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata, Unit Peronda Balai Polis Ampang menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dipercayai ‘transporter’ dadah di hadapan sebuah rumah di Ampang Jaya, 1 Mei lalu.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ford Kuga yang digunakan suspek menjumpai 79 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 79kg bernilai RM3.95 juta. Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN