LONDON – Manchester City menepati ramalan apabila menjulang trofi Piala FA buat kali kelapan selepas menewaskan Chelsea 1-0 pada aksi final yang cukup sengit di Stadium Wembley sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, pemain sensasi, Antoine Semenyo meledak gol tunggal perlawanan menerusi penyudah berkualiti pada minit ke-72 untuk memastikan trofi berprestij itu kembali ke Etihad buat kali pertama sejak 2023.
Pada awal sainga, berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan, namun peluang terbuka agak terhad apabila kedua-dua benteng pertahanan tampil cukup disiplin.
Skuad The Blues pasti kecewa apabila beberapa keputusan pengadil tidak memihak kepada mereka, termasuk insiden melibatkan pertahanan City, Abdukodir Khusanov yang didakwa mengasari pemain lawan di dalam kotak penalti.
Chelsea merasakan mereka sekurang-kurangnya layak memperoleh satu sepakan penalti, namun semakan VAR tidak mengubah keputusan asal pengadil dengan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.
Kejayaan itu menyaksikan City kini menyamai rekod lapan kejuaraan Piala FA milik Chelsea, Liverpool dan Tottenham Hotspur.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu cemerlang apabila melengkapkan gelaran berganda pada musim ini selepas turut mendominasi Piala Liga Inggeris (EFL), Mac lepas.
City berpeluang meraih gelaran trebel peringkat domestik jika menjulang kejuaraan EPL musim ini. – AGENSI














