fbpx
ZAFRUL (kiri) ketika hadir pada Majlis Pelancaran Dewan Kelab Badminton Ampang Jaya hari ini.

Penggantungan kejohanan jika langgar peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengambil tindakan lebih tegas, termasuk menggantung pemain daripada menyertai kejohanan sekiranya didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mana-mana pemain tidak akan diberikan layanan istimewa meskipun bertatus pemain bintang sehingga mereka memperbaiki tahap disiplin masing-masing.

Meskipun masih berada dalam perancangan, namun beliau menganggap tindakan untuk menggantung pemain daripada beraksi dalam mana-mana kejohanan merupakan satu keputusan bagi mencapai piawaian disiplin yang tinggi.

Zafrul menyuarakan cadangan tersebut selepas mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei yang menyuarakan kebimbangan berhubung disiplin pemain-pemain negara.

“Memang piawaian disiplin Datuk Seri Chong Wei ini sangat tinggi. Perbincangan bersama kedua-dua pengarah kejurulatihan kita pun memang bersetuju dengan tindakan yang dicadangkan Datuk Seri Chong Wei.

“Mereka (pemain) mungkin tidak akan bermain dalam mana-mana kejohanan sehingga disiplin mereka menjadi lebih bagus. Kita juga mahu mereka memberikan lebih fokus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Dewan Kelab Badminton Ampang Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan antara peraturan baharu yang diperkenalkan adalah memastikan semua pemain, termasuk pemain senior untuk menginap di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

“Salah satu peraturan baharu yang diperkenalkan pihak pengurusan dan Majlis adalah memastikan pemain-pemain menghuni di asrama kecuali mereka yang sudah berkahwin atau memiliki sebab-sebab tertentu,” ujar Zafrul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN