KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan mewah yang dipercayai menawarkan pakej pelacuran warga asing dengan harga bilik mencecah RM100,000 berjaya dibongkar dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM), awal pagi tadi.
Premis yang berselindung di sebalik sebuah hotel bertaraf tiga bintang di kawasan Changkat itu dipercayai menjadi tumpuan pelanggan warga asing khususnya dari China.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan selama dua minggu mendapati premis hiburan tersebut beroperasi secara eksklusif dan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati hotel berkenaan menjadi tumpuan pelanggan khususnya warga China berikutan kewujudan sebuah pusat hiburan mewah yang menawarkan pakej pelacuran warga asing yang beroperasi dari tingkat satu hingga enam premis tersebut.
“Modus operandi premis ini yang telah beroperasi selama tiga bulan dikawal ketat oleh ‘bouncer’ atau pengawal keselamatan warga tempatan di mana akses keluar masuk premis hanya diberikan kepada pelanggan berstatus VVIP sahaja.
“Harga bagi sebuah bilik bermula daripada RM50,000 dan mencecah RM100,000 bagi sebuah bilik eksklusif yang boleh dilanggan lebih dari 24 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, operasi penguatkuasaan yang dijalankan sekitar pukul 1.30 pagi melibatkan 131 pegawai dengan kerjasama agensi sahabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Katannya, ketika serbuan, beberapa warg asing berada dalam keadaan khayal dan leka dengan alunan muzik yang kuat sehingga tidak menyedari kehadiran pegawai di lokasi tersebut.
Menurut beliau, seramai 243 individu diperiksa membabitkan 194 warga asing dan 49 warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan, JIM menahan seramai 152 warga asing terdiri daripada 129 warga China, Taiwan (2), Vietnam (5), Myanmar (5), Bangladesh (8) serta masing-masing seorang warga Indonesia, Turki dan Vanuatu.
“Kesemua individu yang berusia di antara 21 hingga 32 tahun itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 17 saman kepada saksi (Borang 29) dalam operasi tersebut.
Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen. – KOSMO! ONLINE














