fbpx
AZRY (dua dari kiri) melihat barang kes yang dirampas berkait kes kecurian kabel ECRL di pekarangan Ibu Pejabat polis Kontijen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

Geng Acu curi kabel ECRL tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan “Geng Acu” yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sekitar Kuantan sejak Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, lima lelaki berusia antara 29 hingga 44 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Kampung Pandan, Jaya Gading, Sungai Lembing dan Beserah antara 28 April hingga 6 Mei lalu.

“Empat daripada suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel ECRL manakala seorang lagi bertindak sebagai pembeli barangan curi.

“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala hasil ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengenainya.

Katanya, selain itu, polis turut merampas kira-kira 4,000 meter kulit kabel ECRL yang dipotong, alat pemotong besi serta beberapa telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM100,000.

Dalam pada itu katanya, semua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431 A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara antara dua hingga tujuh tahun .

Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan teraebut adalah kumpulan baru yang terlibat dalam kegiatan ini dan melakukan jenayah itu di sekitar Kuantan.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh Mac hingga April lalu, sebanyak tujuh kes kecurian dan pemotongan kabel signal serta kabel optik ECRL dilaporkan berlaku di kawasan Gebeng, Kotasas, Gambang dan Panching dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM500,000.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN