JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik ditemui mati dipercayai dibunuh di dalam sebuah rumah pangsapuri di sini, lewat malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 33 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.12 malam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati turut ditemui sebilah pisau di sisi mangsa yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif pembunuhan dan mengesan individu terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raub berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE






