PETALING JAYA– Kerajaan Madani menyediakan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion tahun ini bagi membantu lebih 400,000 usahawan mikro termasuk peniaga kecil dan penjaja pasar malam di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu melibatkan pembiayaan sehingga RM100,000 dengan kadar faedah bagi skim tertentu serendah tiga peratus setahun.
Menurut beliau, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, Agrobank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini.
“Saya tegaskan kemudahan pembiayaan ini tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya masih ramai peniaga dan penjaja kecil khususnya di pasar, pasar malam dan kawasan tumpuan rakyat tidak menerima manfaatnya.
“Ketika berkunjung ke negeri-negeri, saya mendengar sendiri keluhan peniaga kecil yang tidak mengetahui mengenai bantuan dan kemudahan pembiayaan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, ada dalam kalangan peniaga kecil masih bergelut sendirian kerana tidak mengetahui saluran yang boleh membantu mereka mendapatkan modal dan sokongan.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua agensi dan institusi pembiayaan mikro supaya memperhebat gerak kerja turun padang bagi mendekati lebih ramai peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro.
Katanya, hebahan serta penyampaian maklumat perlu dilakukan secara lebih agresif dan menyeluruh agar tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat disediakan kerajaan.
“Proses permohonan juga mesti dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan kelulusan diberikan secara adil serta munasabah supaya kemudahan ini benar-benar sampai kepada golongan memerlukan,” ujarnya.
Beliau berharap kemudahan tersebut mampu membantu lebih ramai peniaga kecil, wanita, belia, pekerja gig, lepasan TVET, kontraktor kecil, pesawah padi, golongan asnaf dan usahawan mikro untuk bangkit serta mengembangkan perniagaan masing-masing. – KOSMO! ONLINE














