fbpx
Mohamed Khaled ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT di Hotel Royale Chulan hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO

Kerajaan ambil tindakan saman syarikat pembekal peluru berpandu Norway

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan saman terhadap syarikat pembekal peluru berpandu antikapal (NSM) susulan kegagalan penghantaran aset berkenaan selepas pembatalan lesen eksport oleh Norway.

Menteri Pertahanan berkata, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, tindakan saman itu akan dibuat terhadap syarikat terlibat.

“Kita kontrak dengan syarikat. Kita akan saman syarikat……yang menyebabkan semua ini kerana kerajaan Norway tidak benarkan syarikat dan tidak beri lesen eksport.

“Jadi syarikat tersebut tidak dapat menyerahkan (peluru berpandu kepada Malaysia),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran PROWIRA – RTW (Ready To Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan kini sedang membuat perkiraan terhadap jumlah tuntutan yang akan dikemukakan termasuk mengambil kira nilai kerugian akibat pelanggaran kontrak tersebut.

Beliau berkata, satu jawatankuasa juga telah diwujudkan bagi melihat proses memulakan tindakan serta menentukan jumlah sebenar tuntutan yang wajar dibuat.

“Tentunya bukan sahaja kita akan tuntut apa yang telah kita bayar. Tetapi kesan-kesan daripada pelanggaran kontrak ini yang mendatangkan ‘damage’ (kerugian) kepada negara.

“Jawatankuasa akan melihat proses untuk mulakan tindakan dan pada masa yang sama membuat perkiraan berapa sebenarnya yang wajar kita tuntut selain daripada jumlah yang kita telah bayar,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kontrak berkenaan melibatkan dua perolehan iaitu bagi kapal kapal tempur pesisir (LCS) serta kelas frigat Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat.

“Keseluruhan (kos) adalah RM600 juta lebih dan kita sudah bayar 95 peratus daripada jumlah tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, Malaysia menyuarakan bantahan keras terhadap keputusan unilateral Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitannya yang sebelum ini diperuntukkan untuk kegunaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak sejak 2018, namun keputusan Norway itu dijangka memberi kesan terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara khususnya membabitkan program pemodenan kapal LCS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN