HANOI – Dua beg tangan jenama mewah Hermes milik seorang taikun hartanah di Vietnam yang dihukum mati atas kesalahan penyelewengan, akan dilelong dalam satu acara menjelang akhir bulan ini, lapor portal berita VN Express.
Kedua-dua beg tangan kulit buaya albino yang dimiliki oleh bekas pengerusi Kumpulan Van Thinh Phat, Truong My Lan itu akan dilelong dalam talian pada 21 Mei ini, demikian menurut firma lelongan Pusat Perkhidmatan Lelongan Aset Bandar Ho Chi Minh.
Sebuah beg tangan putih bersaiz 30 dilelong dengan harga permulaan 34 bilion dong (RM5 juta), manakala satu lagi beg bersaiz 25 berjumlah 1.77 bilion dong (RM264,151).
Pembida perlu meletakkan deposit sebanyak 20 peratus daripada harga rizab dan boleh memeriksa barangan itu terlebih dahulu.
Lan pernah memberitahu mahkamah bahawa salah satu beg tersebut dibeli di Itali dan satu lagi beg merupakan pemberian daripada seorang bilionair dari Malaysia.
Pada 2024, Lan dan rakan subahatnya didapati bersalah kerana menyeleweng Saigon Commercial Bank dan menyebabkan kerugian sebanyak 677 trilion dong (RM10.1 trilion) sepanjang tempoh sedekad. – AGENSI














