PUTRAJAYA – Agrobank melancarkan Agro Penjaja-i yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh 700,000 penjaja dan usahawan mikro di seluruh negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, produk terbaharu itu diharap dapat memperkasa komuniti perniagaan kecil melalui akses pembiayaan, latihan keusahawanan dan kemudahan digital.
“Kami menawarkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM100,000 bagi membantu penjaja-penjaja mengembangkan perniagaan, memberi peralatan dan memantapkan perniagaan masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran Agro Penjaja-i yang telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, inisiatif ini adalah sebahagian usaha kerajaan bagi membantu peniaga-peniaga kecil dan meringankan bebanan mereka dalam mendepani situasi krisis tenaga ketika ini.
“Usaha ini bertujuan merancakkan ekonomi tempatan kerana kita tahu bahawa krisis tenaga ini kita tidak tahu bilanya ianya akan reda,” katanya.
Menerusi Agro Penjaja-i, penjaja dan usahawan mikro berpeluang menikmati pelbagai manfaat termasuk skim pembiayaan mikro sehingga RM100,000 serta kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000.
Selain itu, program tersebut turut menawarkan pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan berserta laluan khas atau ‘Green Lane’.
Peserta juga berpeluang mengikuti latihan percuma secara dalam talian dan fizikal menerusi program celik kewangan dan celik usahawan selain menerima latihan bimbingan serta pemantauan selama tiga bulan. -KOSMO! ONLINE














