KUALA LUMPUR – Konsert CIMB Moving KL Forward: Kita Bagi Jadi – At The Park bakal menjadi simbol kerjasama julung kali antara CIMB Bank Berhad (CIMB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha memperkasa ekonomi kreatif serta menyatukan komuniti menerusi seni serta budaya.
Konsert yang bakal berlangsung pada 23 Mei ini di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana bermula pada pukul 7.45 hingga 10 malam dibuka secara percuma kepada orang ramai dan dijangka menarik lebih 2,000 pengunjung.
Antara barisan selebriti yang akan membuat persembahan adalah Aina Abdul, Asmidar, Haziq Rosebi, Izen Kong dan Nadia Aqilah diiringi dengan pasukan Orkestra Kuala Lumpur (OKL).
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan, CIMB, Toni Darusman berkata, inisiatif tersebut membawa semangat baharu CIMB di rantau ASEAN menerusi slogan Moving You Forward.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti dan kerjasama akan dilaksanakan menerusi inisiatif tersebut bagi memperkasa ekonomi serta masyarakat sejajar dengan matlamat CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.
“CIMB komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat termasuk memperkasa seni dan budaya tempatan. Kami akan menampilkan elemen seni kontemporari, persembahan khas dan gabungan media kreatif sebagai salah satu bukti bagaimana seni dan budaya terus diketengahkan dalam masyarakat.
“Konsert adalah satu ekspresi perpaduan yang menghimpunkan kepelbagaian dalam satu ruang. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu gerakan untuk menyuntik semangat kepada masyarakat agar terus berdaya tahan dalam apa jua keadaan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Toni berkata, penganjuran konsert tersebut turut menampilkan elemen muzikal dan penceritaan mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai penghargaan terhadap jasa Perdana Menteri kedua itu yang juga dikenali sebagai Bapa Pembangunan Negara.
Selain persembahan konsert, pelbagai aktiviti lain turut dirancang termasuk forum khas Mengenali Razak yang menampilkan tokoh budaya dan penulis, Eddin Khoo.
Dalam pada itu, Toni berkata, pemilihan Panggung Anniversari di Taman Botani Perdana sebagai lokasi acara juga mempunyai nilai tersendiri kerana lokasi tersebut memiliki signifikan sejarah dan keindahan landskap hijau yang wajar diketengahkan semula kepada masyarakat serta pelancong luar.
Pada masa sama, CIMB turut memberi ruang kepada usahawan mikro dan penjaja tempatan untuk terlibat secara langsung dalam acara tersebut dengan penyertaan sekitar 20 vendor.
Menurut Toni, langkah itu selari dengan usaha CIMB membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk meningkatkan pendapatan menerusi penggunaan pembayaran digital melalui aplikasi CIMB OCTO dan CIMB OCTOBiz.
Tambah Toni, CIMB akan terus menyokong usaha-usaha membangunkan negara dengan memperkasa komuniti setempat dan industri kreatif dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara bermakna, sekali gus menaikkan lantai dengan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab kebudayaan, kreativiti dan perniagaan.
Untuk rekod, CIMB memperuntukkan RM5 juta dalam tempoh tiga tahun untuk pelbagai inisiatif kebudayaan di bawah inisiatif ‘Moving KL Forward’. -KOSMO! ONLINE














