Ujub satu penyakit yang sukar diubati kerana ia akan membawa kepada kesombongan dan boleh merosak amalan soleh yang dibuat selama ini, - GAMBAR HIASAN

Hati-hati ujub hadir dalam senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pernah tak terfikir dalam hati bahawa kita lebih baik dan lebih alim atau mulia daripada orang lain. Jika ada ciri-ciri tersebut, berwaspadalah mungkin sifat ujub telah ‘bersarang’ dalam sanubari kita.

Ujub bermaksud lintasan dalam hati mengatakan kita lebih baik daripada orang lain dalam semua segi termasuk amalan soleh, harta benda, kecantikan dan sebagainya.

Dalam erti kata lain ia lebih kepada sifat bangga diri, berasa kagum dengan diri sendiri kerana terdapat suatu kelebihan yang tiada pada orang lain.

Ia berlaku dalam hati, tidak semesti dizahirkan seperti berasa diri lebih mulia, soleh, pandai, atau cantik berbanding orang lain, berbeza dengan riak yang menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Ujub satu penyakit yang sukar diubati kerana ia akan membawa kepada kesombongan dan boleh merosak amalan soleh yang dibuat selama ini kerana Allah amat murka dengan mereka yang ada sifat sedemikian.

Ramai dalam kalangan kita termasuk mereka yang berjinak-jinak dengan masjid turut terjebak dengan sifat buruk ini seolah-olah hanya mereka ‘ahli syurga’ dengan menghukum orang lain yang jarang atau tidak ke masjid sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh, sewaktu dalam perjalanan ke masjid untuk solat fardu dan melihat segelintir individu masih leka dengan aktiviti dunia seperti melepak dan sebagainya lantas kita berkata dalam hati: ‘Untung aku lebih baik daripada mereka kerana masa-masa sebegini rajin ke masjid untuk beribadah’.

Itu bisikan syaitan secara halus yang dipanggil ujub agar kita terus memperlekehkan orang lain dan bangga dengan apa yang kita buat, sedangkan kita boleh mengatakan semoga mereka semua dipermudahkan oleh Allah untuk turut melakukan ibadah.

Sifat ujub inilah yang membawa kepada bibit-bibit kesombongan dengan mengatakan secara diam-diam kitalah individu terpaling banyak amalan jika dibandingkan dengan mereka yang masih terlena dengan duniawi.

Perasaan seperti inilah strategi syaitan dalam meruntuhkan iman seseorang Muslim kerana ia begitu mudah dipasang dalam hati meskipun dia seorang yang berilmu pengetahuan agama yang luas dan mendalam.

Ia sama dengan apa yang berlaku kepada iblis-iblis yang enggan untuk sujud kepada Nabi Adam kerana berasakan dirinya lebih baik.

Perkara ini dirakamkan oleh Allah dalam surah al-A’raf ayat 12 yang bermaksud: (Iblis berkata): “Aku lebih baik daripadanya (Nabi Adam AS) kerana Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakannya daripada tanah.”

Tanda ujub juga apabila seseorang suka mengangkat diri, anggap diri lebih berkebolehan melebihi orang lain, suka menonjol diri dalam perbincangan, selain suka memperlekeh pandangan serta pendapat orang lain.

Sepatutnya, kita perlu menjadi pendengar yang setia, tidak ‘memotong’ apa yang mahu diutarakan dan memberikan maklumat tambahan sekiranya perlu demi kemaslahatan bersama.

Jadi dalam hal ini kita hendaklah bermuhasabah diri agar dijauhkan dengan sifat mazmumah seperti ini dan menjadi insan yang sentiasa merendah hati kerana ujub boleh hadir secara senyap tanpa kita sedari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN