KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menerima suntikan besar apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan kerjasama strategik dengan nilai tajaan RM25 juta bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030.
Perkembangan itu dianggap berita cukup positif buat arena hoki negara dalam usaha memperkukuh pembangunan pemain serta memastikan skuad kebangsaan terus mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, komitmen berterusan TNB membuktikan keyakinan syarikat korporat itu terhadap potensi sukan hoki di negara ini.
“Saya memang ucap terima kasih khususnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad kerana tanpa bantuan dan sokongan mereka mustahil untuk kita realisasikan apa yang kita harapkan.
“Alhamdulillah tahun ini kontrak bernilai RM25 juta bagi tempoh lima tahun akan datang dan kita harap dapat digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi prestasi hoki negara,” katanya ketika Majlis Menandatangi Memorandum.
Menurut Subahan, nilai tajaan baharu itu turut menyaksikan peningkatan berbanding kontrak terdahulu apabila TNB kini menyalurkan RM5 juta setahun berbanding RM4 juta sebelum ini.
“Ya, memang ada kenaikan. Sebelum ini RM4 juta setahun, sekarang RM5 juta setahun,” ujarnya.
Subahan menjelaskan dana tersebut akan digunakan bagi menampung pelbagai program termasuk pembangunan akar umbi, liga domestik, persiapan pasukan kebangsaan serta latihan pemain muda.
Sejak menjalinkan kerjasama dengan KHM pada 2006, TNB dilaporkan telah menyalurkan lebih RM60 juta untuk pembangunan hoki negara sekali gus menjadikan mereka antara penyumbang terbesar kepada sukan tersebut di Malaysia.














