MEKAH – Operasi haji yang suatu ketika dahulu bergantung sepenuhnya kepada kaedah manual kini berubah seiring perkembangan teknologi digital bagi memastikan pengurusan 31,600 jemaah Malaysia lebih pantas dan sistematik.
Pengurus Operasi Teknologi Maklumat Lembaga Tabung Haji (TH), Shamsul Kamal Hussein Kamal berkata, pengurusan haji kini memasuki fasa baharu apabila memanfaatkan rangkaian komunikasi bersepadu dan sistem pemantauan pergerakan jemaah serta teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau mengambil contoh pembangunan aplikasi THhujjaj yang menjadi antara medium penting dalam usaha pendigitalan operasi haji tahun ini.
“Akses kepada sistem THhujjaj hanya diberikan kepada jemaah haji bagi musim semasa bagi membantu mereka mendapatkan pelbagai maklumat dan keperluan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Secara ringkasnya, THhujjaj membantu jemaah mengakses maklumat seperti lokasi penginapan, jadual penerbangan, penempatan dan pelbagai rujukan berkaitan ibadah haji.
“Dalam sistem itu juga terdapat panduan berkaitan masyair (Hari Kemuncak Haji) dan persoalan ibadah bagi memudahkan jemaah mendapatkan penjelasan berkaitan agama,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Shamsul Kamal, aplikasi berkenaan turut menyediakan pautan kepada sistem e-Taib yang menggunakan teknologi AI bagi menjawab persoalan ibadah haji berdasarkan mazhab Syafie.
Beliau berkata, penggunaan AI dalam operasi haji memerlukan proses penelitian yang teliti kerana setiap maklumat perlu dipastikan kesahihannya sebelum dimasukkan ke dalam sistem.
“AI perlu diajar terlebih dahulu. Semua data dan maklumat hukum perlu dimasukkan berpandukan mazhab Syafie supaya jawapan yang diberikan tepat.
“Kalau guna AI umum seperti ChatGPT atau platform lain, jawapannya mungkin berbeza kerana sumbernya pelbagai.
“Sebab itu kita tekankan penggunaan e-Taib supaya lebih tepat dan diyakini,” katanya.
Mengulas operasi Hari Kemuncak Haji, beliau berkata, pihaknya menyediakan sistem sokongan dan kaedah manual sekiranya berlaku gangguan rangkaian ketika operasi haji berlangsung susulan kehadiran jutaan manusia di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Katanya, pemantauan pergerakan jemaah masih boleh dilakukan secara separa manual menerusi bilik gerakan serta petugas yang berada di dalam bas menggunakan telefon atau radio mudah alih sekiranya diperlukan.
“Kalau berlaku kesesakan sistem atau internet perlahan, kita masih boleh memantau pergerakan jemaah. Bezanya, sistem digital lebih cepat manakala kaedah manual mungkin sedikit lewat, tetapi pemantauan masih boleh dilakukan.
“Tabung Haji sudah menguruskan operasi haji lebih 30 tahun. Dahulu semuanya dilakukan secara manual sebelum kita beralih kepada sistem automasi. Jadi dalam arus perubahan teknologi ini, kaedah manual masih kekal sebagai pelan sokongan operasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














