SHAH ALAM – Seorang penuntut Universiti Awam (UA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencederakan koperal polis, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Harith Mohd. Khalid, 27, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Harith didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis iaitu Koperal Wong Soon Sing yang sedang menjalankan tugas rasmi di Jalan Jubli Perak, di sini kira-kira pukul 1.20 pagi, 6 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 332 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan jaminan RM5,000 bersama seorang penjamin.
Peguam Mohd. Safwan Saleh dan M. Partiben dalam mitigasi merayu jaminan dikurangkan ekoran tertuduh yang masih bujang merupakan pelajar di UA dengan ditanggung sepenuhnya ibu bapanya menggunakan duit pencen mereka.
Jelas mereka, tertuduh juga mempunyai alamat tetap di Banting dan risiko melarikan diri adalah terpencil.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM2,500 bersama seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 Jun depan. – KOSMO! ONLINE














