fbpx
Kru kapal korek yang ditahan di perairan Tanjung Tokong, malam tadi.

Kru kapal korek cuba ‘suap’ pegawai APMM di laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal korek yang membawa muatan pasir secara berlebihan di perairan Tanjung Tokong di sini, malam tadi.

Kapal yang dikendalikan seramai 17 kru warga asing terdiri Indonesia dan China itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang berlabuh pada kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika timur laut Tanjung Tokong, pada pukul 11.30 malam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kru kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan.

“Hasil siasatan lanjut, kapal yang dikendalikan 17 kru warga asing berusia 32 hingga 52 tahun itu bukan sahaja membawa muatan melebihi kapasiti, malah terdapat individu di atas kapal yang tidak tersenarai dalam senarai kru rasmi.

“Malah, semasa pemeriksaan dijalankan turut berlaku cubaan memberi suapan kepada penjawat awam serta cubaan menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan tugas rasmi,” katanya di sini, hari ini.

Susulan daripada itu katanya, 10 daripada 17 kru kapal tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta SPRM 2009 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Justeru, Muhammad Suffi menegaskan bahawa pasukannya akan terus komited dalam penguatkuasaan undang-undang maritim demi kesejahteraan perairan negara. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN