Sektor penanaman padi sedang mengalami penuaan serius kerana kekurangan pewaris untuk meneruskannya pada masa depan.

Anak pesawah pilih makan gaji, kerja pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Orang muda lebih cenderung memilih pekerjaan tetap berbanding mewarisi sawah yang diusahakan ibu bapa mereka kerana bidang itu dianggap tidak mampu menjamin pendapatan stabil.

Situasi itu menjadi punca utama sektor penanaman padi kini seolah-olah ‘tenat’ tanpa pewaris muda apabila kurang lima peratus daripada 200,000 pengusaha sawah di negara ini berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A4 Kuala Kedah, Mansor Hussein, 70, berkata, kebanyakan pesawah sedia ada kini sudah berusia dan tiada pewaris untuk meneruskan kerja sawah.

Katanya, kebanyakan anak pesawah lebih suka bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta yang bergaji tetap setiap bulan.

“Saya ada enam anak, empat daripada mereka lelaki. Semua­nya sudah bekerja dan berkeluarga. Mereka kerja di pejabat dan sektor swasta, memang tidak mengusahakan bendang.

“Dari awal mereka memang tidak ada pendedahan tentang bendang kerana belajar dan terus bekerja, jadi mereka tidak mengusahakan bendang yang saya usahakan sekarang ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, ketika ini dia mengusahakan kira-kira 3.7 hektar bendang yang sebahagiannya disewa daripada tuan tanah.

“Satu relung bendang (kira-kira 0.29 hektar) boleh dapat antara RM2,000 hingga RM3,000, tetapi selepas ditolak kos, tinggal separuh. Nak bayar sewa sawah lagi, jadi pendapatan bersih tidak banyak.

“Pendapatan diperoleh bukan bulanan, sebaliknya semusim iaitu dalam tempoh enam bulan. Dari segi pendapatan, ia tidak cukup untuk menarik minat orang muda mengusahakan sawah,” katanya.

Menurutnya, dia mungkin terpaksa menyewakan bendangnya kepada pesawah lain sekiranya tidak lagi mampu mengusahakan sawah tersebut.

“Anak muda bukan tidak berminat, tetapi pendapatan yang tidak menentu dan kurang menarik menjadi faktor mereka tidak mengusahakan bendang,” katanya.

Ujarnya, pendapatan boleh menjadi lebih lumayan sekiranya melibatkan kawasan sawah yang luas iaitu kira-kira 14 hektar dan memiliki jentera sendiri.

“Kebanyakan pesawah tidak mempunyai sawah yang banyak, jadi hasil yang diperoleh hanya cukup-cukup makan, lebih-lebih lagi dengan kenaikan kos ketika ini,” katanya.

Seorang lagi pesawah di Alor Setar, Isa Ahmad, 67, berkata, tiga anak lelakinya juga tidak mengusahakan sawah kerana bekerja dalam sektor swasta.

“Pada masa ini saya hanya mengusahakan kira-kira 4.3 hektar sawah. Kebanyakan kerja se­perti membajak, menabur, meracun dan menuai memang kena upah sahaja kerana semuanya menggunakan jentera dan dron.

“Untung tidak seberapa, kalau terkena serangan penyakit atau banjir, hasil akan merosot dan pendapatan memang akan berkurangan.

“Apabila pendapatan tidak menentu dengan kos meningkat, susah untuk menarik orang muda mengusahakan bendang,” katanya.

Menurutnya, dia juga mungkin akan menyewakan tanah sawah kepada orang lain apabila tidak lagi mampu mengusahakannya akibat faktor usia.

“Kalau kerajaan memberi insentif tinggi untuk mengusahakan bendang terutama kepada anak muda dengan pendapatan lebih lumayan, mungkin mereka akan kembali berminat,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam sektor pertanian apabila lebih 70 peratus pesawah di negara ini terdiri daripada golongan berusia 65 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, isu penuaan petani merupakan antara kekangan utama negara untuk bersaing dengan negara jiran.

Katanya, selain itu faktor kos buruh dan pengeluaran yang tinggi serta keluasan tanah pertanian yang terhad juga menjadi punca masalah dalam sektor ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN