WHO menegaskan hantavirus bukan seperti Covid-19 kerana risiko penularan global masih dianggap rendah dan tidak merebak.

Hantavirus: Cegah atau biarkan saja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kes hantavirus yang dilaporkan berlaku di atas kapal persiaran MV Hondius di Lautan Atlantik. Kes ini mendapat perhatian antarabangsa kerana beberapa penumpang dilaporkan mati dan beberapa lagi dijangkiti virus tersebut.

Menurut World Health Organization (WHO), wabak itu dipercayai berkait dengan strain Andes Hantavirus yang jarang berlaku, tetapi boleh merebak antara manusia melalui hubungan rapat.

Setakat ini, beberapa kes telah disahkan dan sekurang-kurangnya tiga kematian dilaporkan.

Kapal itu pada asalnya memulakan pelayaran dari Argentina sebelum beberapa penumpang mula menunjukkan simptom seperti demam, sesak nafas dan radang paru-paru. Ada mangsa yang jatuh sakit ketika pelayaran dan sebahagiannya terpaksa dipindahkan untuk rawatan kecemasan.

Keadaan itu menyebabkan pihak kesihatan antarabangsa mengambil langkah ketat seperti kuarantin, saringan kesihatan dan pemantauan terhadap penumpang yang pulang ke negara masing-masing. Beberapa negara turut menyediakan penerbangan khas untuk membawa pulang rakyat mereka bagi menjalani pengasingan.

Walaupun kes ini menimbulkan kebimbangan, namun WHO menegaskan hantavirus bukan seperti Covid-19 kerana risiko penularan global masih dianggap rendah dan tidak merebak semudah Coronavirus dan biasanya memerlukan kontak rapat atau pendedahan tertentu untuk menjangkiti seseorang.

Pun begitu, bolehkah kita mengambil mudah tentang hantavirus ini? Rasanya pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan perlu mengambil segala langkah untuk mencegah daripada awal supaya tiada kes hantavirus masuk ke negara ini.

Saya masih ingat ketika Covid-19 mula-mula masuk ke negara ini, semua pihak merasakan tidak mungkin virus yang menular di Wuhan, China pada 2019 akan sampai dan merebak dengan mudah di sini.

Namun pada awal 2020, ia mula masuk dan merebak dengan pantas di Malaysia. Pada peringkat awal, kebanyakan kes melibatkan pelancong atau individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan terjejas dengan kes pertama dikesan pada Januari 2020 melibatkan warga asing yang masuk melalui Johor.

Harus diingat, Malaysia merupakan negara yang menerima kunjungan pelancong asing tertinggi di Asia Tenggara dan dalam senarai ‘top 20’ di dunia pada 2025 dengan kehadiran 42 juta pengunjung. Jadi kita sebenarnya terdedah kepada virus tersebut.

Memang setakat ini negara kita belum ada kes hantavirus, namun keberangkalian virus itu untuk sampai ke negara ini adalah tinggi jika tiada langkah-langkah tegas untuk mencegah diambil khususnya melalui saringan ketat di semua pintu masuk negara.

Sehubungan itu, langkah pencegahan awal amatlah penting. Kesedaran tentang hantavirus juga perlu diperluas supaya masyarakat tidak hanya panik bila sesuatu penyakit mula tular. Bila rakyat faham cara penularan penyakit, mereka lebih mudah mengambil langkah pencegahan.

Dalam dunia hari ini, penyakit boleh bergerak merentasi negara dengan cepat melalui perjalanan dan perdagangan antarabangsa. Jadi Malaysia memang perlu sentiasa bersedia walaupun ancamannya belum besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN