PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sains, teknologi dan inovasi (STI) perlu dijadikan pemacu utama dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran ekonomi negara serta ketidaktentuan rantaian ekonomi global ketika ini.
Beliau berkata, setiap perancangan dan pelaksanaan berkaitan STI perlu digerakkan secara lebih strategik dan berkesan bagi memastikan Malaysia mampu mendepani cabaran kewangan termasuk krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.
“Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekosistem STI negara menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi.
“Inisiatif ini diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2026.
Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut amat penting khususnya dalam memperkukuh sinergi strategik antara Kerajaan Madani, sektor swasta dan institusi penyelidikan serta pembangunan (R&D).
Katanya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat dan negara.
“Kerajaan komited memastikan agenda STI terus diperkasa sebagai antara teras utama pembangunan negara yang berdaya tahan dan berdaya saing,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














