JOHOR BAHRU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menghadiri sambutan ulang tahun penubuhan UMNO ke-80 yang berlangsung di Tangga Selat, Istana Besar di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda dan Tunku Mahkota Johor itu disambut Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Majlis tersebut turut menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi parti termasuk ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sempena sambutan ulang tahun penubuhan parti itu yang ke-80.
Sambutan berkenaan diadakan dalam suasana penuh istiadat dan simbolik, sekali gus mencerminkan perjalanan panjang UMNO sebagai antara parti politik terawal yang memainkan peranan penting dalam landskap politik negara sejak penubuhannya pada 1946.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam hantaran di facebooknya menegaskan perjuangan parti itu yang kini memasuki usia 80 tahun masih relevan dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Menurut beliau, sepanjang lapan dekad penubuhannya sejak 11 Mei 1946, UMNO telah melalui pelbagai cabaran termasuk pergolakan politik, perpecahan dalaman serta perubahan landskap semasa, namun parti itu kekal berdiri hasil kesetiaan dan kekuatan akar umbi. – KOSMO! ONLINE














