LONDON – Arsenal FC semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selama 22 tahun selepas meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas West Ham, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium London itu, pemain Belgium, Leandro Trossard yang meledak gol kemenangan pada minit ke-83 untuk memastikan tiga mata berharga menjadi milik The Gunners ketika saingan berbaki dua perlawanan.
Bagaimanapun, aksi di Stadium London itu berakhir penuh debaran apabila West Ham menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan saat akhir oleh Callum Wilson pada masa kecederaan.
Namun, sistem video bantuan pengadil (VAR) menjadi penyelamat Arsenal apabila membatalkan jaringan tersebut selepas mendapati berlaku kekasaran terhadap penjaga gol, David Raya.
Sebelum itu, Raya turut muncul watak penting apabila melakukan aksi menyelamat menakjubkan untuk menafikan percubaan pemain West Ham, Fernandez pada minit ke-78 ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Arsenal kini hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan EPL pertama sejak musim 2003/04 selepas meraih selepas meraih 79 mata, musim ini.
Sementara, beberapa aksi EPL menyaksikan Nottingham Forest terikat seri 1-1 bertemu Newcastle United, Aston Villa 2-2 Burnley dan Crystal Palace 2-2 Everton. – AGENSI














