MARANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) berjaya mematahkan 556 aktiviti percubaan menyelewengan barangan kawalan dalam tempoh kurang dua bulan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 sejak 16 Mac lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, nilai rampasan barangan kawalan sepanjang pelaksanaan operasi tersebut sehingga semalam sudah melebihi RM23.17 juta.
Beliau berkata, tiga barangan kawalan utama yang paling banyak dikesan cuba diseleweng dalam Ops Tiris 4.0 ialah diesel dan petrol dan minyak masak.
“Lebih 66 peratus kes (penyelewengan) dilaporkan melibatkan diesel (249 kes) dan petrol (119 kes).
“Kebanyakan kes tersebut dilaporkan di negeri-negeri terletak bersempadan dengan negara jiran seperti Sarawak, Sabah, Kelantan, Johor dan Kedah,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 peringkat Terengganu, di sini hari ini.
Azman berkata, setakat ini, Ops Tiris 4.0 mendapati kebanyakan kes penyelewengan diesel dilaporkan di Sarawak, Sabah dan Johor.
Beliau berkata, aktiviti penyelewengan petrol pula banyak dikesan di Kelantan dan Sabah.
“Aktiviti penyelewengan LPG (gas petroleum cecair) pula banyak berjaya dipatahkan di Sabah dan Kedah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














