PETALING JAYA – Orang ramai menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) membaiki segera laluan sekitar Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Ampang.
Ini kerana mereka mendakwa, terdapat beberapa lubang besar sepanjang laluan tersebut yang dikhuatiri akan mengundang bahaya kepada para pengguna.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, pengguna yang dikenali sebagai @Theorecticallyayeast berkata, lubang yang terdapat di laluan itu besar dan umpama berada dekat bulan.
“Tolong ya, rajin-rajin turun jalan kat kawasan Jalan Tun Razak menghala Jalan Ampang ni. Bukan main besar lubang macam dekat bulan dah,” tulis pengguna itu.
Berdasarkan klip video yang kongsi pengguna itu, kelihatan keretanya terhuyung-hayang sewaktu melalui kawasan terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman melalui jalan terbabit.
“Hari tu jalan tu ada orang letak kon. Tak tau la dah tampal ke apa, tiba-tiba dah tak ada. Memang dalam dan bahaya,” tulis @Lamni.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Mahathir.mss.
“PBT (pihak berkuasa tempatan) kat kawasan Lembah Klang ni antara yang paling tak buat kerja. Banyak jalan berlubang, sampah sarap merata-rata, lampu jalan tak berfungsi dan macam-macam lagi isu penyelenggaraan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














