PARIS – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) akhirnya bersetuju melakukan perubahan besar terhadap unit kuasa Formula Satu (F1) bermula musim 2027 susulan rungutan berterusan daripada barisan pelumba sejak awal musim ini.
Keputusan itu dicapai selepas satu mesyuarat dalam talian melibatkan FIA, Pengurusan Formula Satu (FOM), 11 ketua pasukan serta lima pengeluar enjin utama iaitu Mercedes, Ferrari, Red Bull Powertrains, Audi dan Honda.
Perubahan tersebut dibuat selepas FIA menerima banyak maklum balas daripada pelumba yang menganggap pakej enjin sedia ada masih belum cukup baik terutama dari aspek perlumbaan sebenar meskipun beberapa penambahbaikan sudah diperkenalkan pada Grand Prix (GP) Miami baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, FIA mengesahkan perubahan terhadap unit kuasa akan dilaksanakan bagi meningkatkan aspek keselamatan selain menjadikan perlumbaan lebih kompetitif dan mesra pelumba.
“Kesimpulan daripada pakej perubahan di Miami menunjukkan impak positif terhadap persaingan dan berada di landasan yang betul. Tiada isu besar atau kebimbangan keselamatan dikenal pasti hasil pelaksanaan perubahan tersebut,” menurut kenyataan FIA.
Menurut FIA lagi, beberapa penambahbaikan lain termasuk aspek keselamatan ketika permulaan perlumbaan serta perlumbaan dalam keadaan hujan juga sedang dinilai sebelum diperkenalkan pada perlumbaan akan datang.
Bagi perubahan musim 2027 pula, FIA memaklumkan kuasa enjin pembakaran dalaman (ICE) akan ditingkatkan kira-kira 50kW menerusi peningkatan aliran bahan api, manakala kuasa sistem pemulihan tenaga (ERS) pula akan dikurangkan sekitar 50kW.
Tambah badan induk itu, cadangan akhir akan diperhalusi terlebih dahulu bersama kumpulan teknikal melibatkan pasukan dan pengeluar enjin sebelum dibentangkan untuk kelulusan rasmi menerusi undian Majlis Sukan Bermotor Dunia. – AGENSI














