TOPI beret menyerlahkan aura keyakinan dan penampilan pada si pemakai.

Ekspresi diri topi beret

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOPI beret memberi makna yang berbeza dan tersendiri mengikut pandangan individu. Bagi peminat fesyen, ia mengembalikan semula imej-imej wanita ikonik dunia  seperti Jacqueline Kennedy atau gaya naif eksperimentasi Puteri Diana di era 80-an. Mungkin pada yang lain, topi beret adalah simbol pakaian seragam tentera atau jika dipadankan dengan kemeja jalur melintang Breton, ia cukup melambangkan gaya klasik sinonim masyarakat Perancis.

Sejarah fesyen juga mengaitkan pemakaian topi beret dengan golongan kreatif dan hipster dunia (seperti generasi Beatnik, pelukis, pengarah dan penyair), para intelektual  serta yang berpengaruh seperti Ernest Hemingway, Pablo Picasso, Edith Piaf, Marlene Dietrich, Twiggy dan John Lennon juga cukup sinonim dengan pemakaian beret sebagai antara gaya ekspresi diri mereka. 

Topi beret sememangnya dahulu dan kini merupakan simbol yang berkait rapat dengan generasi yang penuh semangat serta inginkan arus perubahan diri dan alam sekitar. 

1. Populariti topi beret

SEMEMANGNYA sekian lama topi beret mempunyai pasaran sendiri dalam industri fesyen, cuma kini ia menjadi semakin popular dalam kalangan pembeli seluruh dunia. Majalah-majalah fesyen antarabangsa juga mengisytiharkan bahawa topi beret adalah aksesori yang perlu dimiliki musim ini. Ikon seperti Rihanna dan Bella Hadid nampak cukup hebat dan anggun menggayakan topi beret ketika menghadiri acara berprestij ataupun di jalanan. 

TOPI beret berfungsi bagi menambah gaya sartorial atau anggun pada pakaian rekaan yang kelihatan biasa.

2. Aura keyakinan

KITA juga dapat lihat di media sosial seperti Instagram dan Facebook, peminat-peminat fesyen memuat naik gambar atau video penggayaan topi beret mengikut gaya hidup mereka. Semua ini pasti dapat memberikan anda idea bagaimana untuk menggayakannya mengikut cara anda pula.

Topi beret menyerlahkan aura keyakinan dan penampilan pada si pemakai. Ia gaya kontemporari, pratikal, mudah disuai padan serta menyuntik gaya segar pada pelbagai variasi pakaian. 

3. Gaya hebat harian 

IA  sememangnya cara mudah dan segera bagi menutupi rambut yang tidak didandan.

Jika anda tiada masa untuk mendandan rambut pada pagi hari sebelum ke pejabat, jalan penyelesaiannya mudah sahaja, pakai topi beret dan secara automatik anda kelihatan cukup bergaya dengan aksesori paling popular musim ini.

TOPI beret sememangnya dahulu dan kini menjadi simbol generasi yang inginkan arus perubahan diri serta alam sekitar.

4. Gaya Parisian

Mahu gaya Parisian Chic? Topi beret jawapan tepat untuk anda. Padan dan gayakan topi beret dengan gaun wrap fabrik kapas, kaca mata hitam terkini, kasut espadrilles bertali dan gincu merah untuk gaya ceria terutama ketika cuaca panas.

5. Gaya idola K-pop

Gayakan kombinasi topi beret dan kemeja-T (logo) bersaiz besar, padankannya dengan seluar trek warna terang untuk gaya santai bersahaja inspirasi bintang K-pop yang menjadi kegilaan.

6. Solusi serlah gaya

Topi beret berfungsi bagi menambah gaya sartorial atau anggun pada pakaian rekaan yang kelihatan biasa (seperti blaus, kemeja, skirt dan seluar). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN