KAMPAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai mesin, jentera dan peralatan memproses pasir silika, 5,000 tan longgokan pasir serta 500 beg jumbo berisi mineral jenis amang bernilai RM7.25 juta dalam satu operasi khas di sebuah premis dipercayai memproses bahan itu secara haram di Kampar semalam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, Operasi Bersepadu Khazanah itu turut melibatkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kampar.
“Tiga lelaki tempatan ditahan dipercayai pemilik premis perniagaan dan pemandu lori berumur 20 hingga 30 tahun. Siasatan awal mendapati premis telah beroperasi sejak 2024 dan tidak pernah diserbu. Fasiliti di lokasi digunakan khusus untuk memproses pasir silika sebelum disimpan dan dieksport ke luar negara. Dua pemandu lori gagal mengemukakan dokumen pemindahan mineral berkaitan pemindahan pasir,” katanya di Kampar hari ini.
Beliau menambah, bagi kesalahan memproses pasir silika tanpa lesen, pihak JMG Perak menjalankan siasatan di bawah Peraturan 6 (4), Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016, manakala, untuk pemindahkan pasir tanpa kelulusan, kes diserahkan kepada PTG Perak dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara. – KOSMO! ONLINE






