ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor supaya tidak lagi melayan spekulasi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut beliau, DUN Johor tidak akan dibubarkan buat masa ini dan semua wakil rakyat diminta terus memberi tumpuan kepada khidmat untuk rakyat serta pembangunan negeri.
“Pada hari ini, 7 Mei, saya ingin menjawab segala spekulasi tersebut. Saya umumkan DUN Johor tidak akan dibubarkan pada hari ini.
“Jadi boleh relaks, saya sarankan YB jangan risau pasal PRN. Terus buat kerja, beri khidmat kepada rakyat dan Bangsa Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga ADUN Machap itu turut menegaskan masih banyak program dan inisiatif kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Soal PRN tolak tepi dulu, banyak program dan inisiatif yang perlu kita laksanakan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














