MELAKA – Kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai insentif khas termasuk sewaan percuma dan diskaun pembaharuan lesen bagi membantu penjaja serta peniaga kecil menghadapi peningkatan kos operasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif menerusi Insentif Bajet 2026 dan Insentif Khas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dilaksanakan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta memastikan kelangsungan perniagaan.
Menurutnya, di bawah pelaksanaan itu, penjaja dan peniaga kecil yang menyewa premis di bawah pentadbiran PBT serta anak syarikat kerajaan negeri akan menikmati sewaan percuma selama sebulan pada Julai ini.
“Selain itu, Perbadanan Melaka (MCORP) turut menawarkan pengurangan kadar sewaan sebanyak 30 peratus bagi tempoh sama sebagai sokongan tambahan kepada komuniti peniaga.
“Kerajaan negeri memahami cabaran peningkatan kos operasi yang sedang dihadapi peniaga ketika ini, justeru bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu peniaga di Medan Samudera, Banda Hilir di sini hari ini.
Tambahnya, usaha itu juha selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.
Katanya, langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini. – KOSMO! ONLINE














