PETALING JAYA – Kemelut membabitkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan berjaya diurus dan diselesaikan dengan baik selepas pertemuan pimpinan tertinggi UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), semalam.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang turut mengambil maklum kestabilan pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal mentadbir seperti biasa di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Sebarang isu berbangkit akan dirujuk kepada pimpinan utama antara parti-parti komponen bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai secara bersama,” katanya pada taklimat krisis bekalan global dan sidang akhbar pasca-Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata dilaporkan berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar perlu akur dengan persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH, semalam.
Katanya, beliau juga positif bahawa 14 ADUN BN berkenaan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Media sebelum ini melaporkan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ia antara tiga persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – KOSMO! ONLINE






