fbpx
Guan Eng

Tiada jejak wang, tidak jejas siasatan kes – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, meskipun tiada ‘money trail’ (jejak wang) dalam kes rasuah Lim Guan Eng, ia tidak menjejaskan integriti siasatan kes itu.

Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, 34, berkata ketiadaan jejak wang dalam kes tersebut kerana bayaran yang didakwa kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dibuat secara tunai tanpa dimasukkan dalam akaun.

“Dalam siasatan saya mendapati bayaran dibuat secara berperingkat dan secara tunai, serta tidak dimasukkan atau dipindahkan ke mana-mana akaun. Namun, perkara ini tidak menjejaskan siasatan saya kerana ia disokong oleh keterangan saksi dan bukti dokumen,” katanya semasa pemeriksaan utama pihak pendakwaan.

Ujar saksi itu, kesemua wang tersebut didakwa diserahkan kepada Ahli Parlimen Bagan itu secara berperingkat melalui orang tengah, Datuk G. Gnanaraja.

Pada masa sama, saksi itu turut mempertahankan tindakan SPRM untuk memanggil Gnanaraja sebagai saksi, walaupun terdapat dakwaan bahawa kenyataannya mengandungi percanggahan.

Beliau berkata keterangan Gnanaraja selari dengan kenyataan Pengarah Consortium Zanith Contruction Sdn. Bhd. (CZCB), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang direkodkan pada akhir 2019, di mana Zarul mengaku menyerahkan empat beg mengandungi RM1 juta setiap satu.

Zulhilmi berkata Gnanaraja, dalam kenyataan yang direkodkan sekitar pertengahan 2020, juga mengaku menerima empat beg yang masing-masing mengandungi RM1 juta daripada Zarul, menjadikan jumlah keseluruhan RM4 juta.

“Ini menjadi sebahagian daripada asas siasatan SPRM,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung lagi 14 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN