fbpx
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri 1 hari ini.

UMNO-PH capai kata sepakat kekal kerjasama di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan melibatkan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama sedia ada di Negeri Sembilan demi menjamin kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.

Menerusi kenyataan media bersama hari ini, pertemuan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini turut menegaskan penghormatan terhadap pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik parti masing-masing berhubung isu di negeri berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa sebarang keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang berpotensi mencetuskan sensitiviti atau membuka ruang perselisihan perlu dirujuk segera kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat selari dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan serta tidak menjejaskan keharmonian politik dan kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama tersebut ditandatangani Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua gabungan dalam memperkukuh kerjasama politik di peringkat negeri selaras dengan agenda kestabilan nasional.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN