PETALING JAYA – Global Sumud Flotilla memaklumkan pihaknya menerima ancaman pintasan yang hampir berlaku ke atas kapal bantuan kemanusiaan yang menuju ke Gaza di perairan Greece, malam tadi.
GSF memaklumkan, empat kapal Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini belayar di perairan Greece untuk menyertai misi GSF ke Gaza memberitahu, sebuah helikopter berlegar di sekitar mereka pada pukul 7:27 malam waktu Palestin.
Selain itu, mereka pada pukul 9:53 malam turut melaporkan dari jauh terlihat tiga dron dan sebuah kapal yang telah memadamkan lampunya.
“Beberapa peserta turut memaklumkan melihat bot-bot dan cahaya putih di belakang armada FFC.
“Data Marine Traffic menunjukkan sebuah pesawat Lockheed Martin milik Amerika Syarikat terbang di atas armada tersebut tidak lama sebelum itu,” kata GSF menerusi kenyataan, pagi tadi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 dilaporkan diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim Israel.
Insiden tersebut berlaku ketika flotila menghampiri perairan Greece dengan 22 kapal disahkan telah dipintas oleh pihak rejim pada jarak kira-kira 80 batu nautika. – KOSMO! ONLINE














