PETALING JAYA – Perdana Menteri menegaskan supaya kebajikan tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di sebuah Zoo di Jepun menjadi keutamaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik DAK.
“Saya mengambil maklum kebimbangan rakyat dan menegaskan bahawa kebajikan haiwan ini mesti menjadi keutamaan NRES dan Zoo Taiping.
“Maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan mereka di sana,”tulisnya pada hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, pada hantaran itu Anwar memberitahu beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi NRES pagi tadi bagi meneliti perancangan dasar serta keutamaan kementerian sepanjang tahun ini.
Jelas beliau, antara yang dibincangkan ialah keperluan mendesak melaksanakan pembenihan awan di negeri-negeri kritikal termasuk Kedah dan Perlis.
“Saya arahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyegerakan pelaksanaannya.
“Ia termasuk meneroka penggunaan teknologi dron serta kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menampung kekurangan pesawat bersesuaian, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,”katanya.-KOSMO! ONLINE













