SEREMBAN – Mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 47, yang masih terlantar menitiskan air mata sebaik sahaja sahaja dibisikkan berita bekas suaminya, Rosmaini Abd. Raof dipenjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam.
Adiknya, Fauziah Nordin, 45, berkata, dia terus berjumpa dan membisikkan keputusan tersebut sebaik terbacanya di media sosial.
“Saya kata mahkamah tambah hukuman pada Rosmaini selama 14 tahun dan perlu bayar ganti rugi RM25,000.
“Muka dia lega berubah sangat nampak tenang, tetapi dia menitiskan air mata seolah-olah dia faham apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Nusari Bayu, Bandar Baru Sendayan di sini semalam.
Menurut Fauziah, walaupun hukuman berkenaan tidak mampu mengembalikan kehidupan normal kakaknya, namun dia sekeluarga berpuas hati.
Tambahnya, perasaannya bercampur baur sebaik tahu keputusan hukuman tersebut.
“Saya pun menangis mendengarnya. Syukur sangat hukuman penjara Rosmaini ditambah, kalau ikutkan hukuman tidak setimpal dengan keadaan Kak Jahidah yang sudah terlantar 100 peratus, macam saya sendiri jaga dia dan sentiasa doakan dia tidak rasa sakit,” katanya.
Ujar Fauziah, hukuman tambahan dan bayaran ganti rugi yang dikenakan terhadap Rosmaini mungkin asbab doa Jahidah kerana wanita itu sebenarnya yang paling teraniaya.
“Sebelum ini kami berdoa semoga lelaki itu dikenakan hukuman yang lebih berat. Saya dapat rasa kakak juga berdoa dan saya juga sangat berterima kasih kepada masyarakat kerana selalu menyokong kami,” katanya.
Kata Fauziah, wang itu boleh digunakan untuk membesarkan Eshan Nufail yang kini berusia lima tahun.
Dalam pada itu, Fauziah turut menyifatkan wanita yang menjadi mangsa terbaharu Rosmaini sehingga teruk dipukul dan keguguruan di Ambangan Heights, Sungai Petani, Kedah masih bernasib baik kerana masih lagi boleh bercakap dan dapat menegakkan kebenaran.
“Berbanding dengan Kak Jahidah, dia tidak boleh bercakap. Dia tidak boleh nak beritahu kita apa yang dia alami, beritahu kepada polis,” katanya.














