PAMPLONA – Dominasi Barcelona di puncak La Liga kini dilihat sukar digugat selepas mereka berjaya mengekalkan jurang di depan pencabar terdekat, Real Madrid, hasil kemenangan ke-10 berturut-turut menewaskan Osasuna 2-1, awal pagi semalam.
Kelebihan selesa itu meletakkan skuad bimbingan Hansi Flick dalam kelas tersendiri ketika saingan hanya berbaki empat perlawanan, sekali gus memberikan tekanan psikologi yang amat berat buat pencabar lain untuk mengejar.
Kejayaan di Stadium El Sadar itu juga menyaksikan Flick kini menghampiri rekod terbaik kelab sejak Mac 2016, di mana ketika itu di bawah kendalian Luis Enrique, kelab Catalan berkenaan merekodkan 12 kemenangan berturut-turut.
Flick mengakui berpuas hati dengan komitmen anak buahnya yang berjaya melunaskan tanggungjawab untuk memberikan kegembiraan buat penyokong setia mereka menerusi rentak kemenangan konsisten.
“Kami sudah menjalankan tugas dengan memenangi perlawanan ini dan sekarang segalanya bergantung kepada keputusan lain (Real Madrid). Perkara paling penting adalah memastikan kedudukan kita terus kukuh sebelum benar-benar menjulang kejuaraan,” katanya.
Dalam aksi sengit itu, Robert Lewandowski dan Ferran Torres muncul wira dengan meledak gol buat Barcelona, manakala Raul Garcia menjaringkan gol saguhati buat tuan rumah.
Bagi menambah sengat di bahagian serangan pada babak kedua, Flick melakukan perubahan taktikal dengan membawa masuk Marcus Rashford dan Ferran Torres, selain memasukkan Frenkie de Jong bagi menggantikan Gavi untuk mengimbangi jentera tengah.
“Kami mengambil sedikit risiko dengan bermain lebih pantas. Saya gembira dengan prestasi pasukan, sokongan penyokong dan kejayaan meraih tiga mata kali ini,” jelas Flick.
Barcelona kini mengumpul 88 mata selepas 34 perlawanan, satu angka yang cukup sukar untuk dipintas oleh mana-mana pasukan dalam fasa terakhir liga musim ini. – AGENSI














