fbpx
MERUPAKAN antara vokalis lelaki negara yang digeruni ketika ini, Amir membuktikan kehebatannya bersama orkestra SPWinds sehingga memukau penonton.

‘Konsert lebih 20 lagu tapi praktis hanya dua hari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN 2026 menjadi pembuktian satu lagi lakaran sejarah peribadi buat penyanyi Amir Masdi apabila berjaya menjayakan konsert sulung bersama pasukan orkestra Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds), baru-baru ini.

Berlangsung pada 25 April lalu, konsert diberi judul Winds of Glory: AM:PM dan SPWinds In Concert itu berjaya memukau 2,700 penonton yang membanjiri Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Tepat pukul 8.15 malam, SPWinds mula mengalunkan muzik instrumental sebagai mukadimah sebelum Amir muncul di pentas mempamerkan kehebatan vokal menerusi rangkaian lagu popularnya seperti Luar Kotak, Bakal Kekasih, dan Calar.

Kualiti vokal pemilik nama lengkap Amir Syazwan Masdi yang sinonim dengan genre rock sekali gus mengukuhkan lagi posisinya sebagai antara penyanyi lelaki terbaik masa kini.

Persembahan berkenaan bukan sahaja disaksikan peminat dan ibu bapa pelajar, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ANWAR (berbaju batik hijau) turut meluangkan masa menyaksikan persembahan bertenaga Amir Masdi dengan iringan orkestra Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds), baru-baru ini.

Azizah buat PM

Dalam kesempatan itu, SPWinds dan Amir mengambil peluang menghiburkan Anwar dengan menyampaikan beberapa lagu kegemaran beliau termasuk karya ikonik Datuk M. Nasir seperti Mentera Semerah Padi, Suatu Masa, Hud-Hud dan Hati Emas.

Paling mencuri tumpuan apabila mereka membawakan lagu Azizah yang dipopularkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang juga merupakan lagu kesukaan Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, segmen khas buat Perdana Menteri sememangnya dipilih pihak SP Winds dengan gubahan muzik yang lebih segar bersesuaian dengan generasi sekarang.

“Itu pilihan SPWinds, saya menurut perintah. Mereka cakap PM suka M. Nasir dan lagu Azizah.

“Saya cakap pada pasukan saya macam mana, tak ada lagu lain ke. Tapi saya ambil tugas dan tanggungjawab ini bersama-sama.

“Itu membuatkan saya lebih teruja dan susunan muzik kita buat lebih segar supaya kena dengan (mood) saya dan SPWinds,” katanya ketika sempat bertemu media usai menjayakan konsert.

Juara program realiti televisyen, Akademi Fantasia 2016 itu turut menyampaikan beberapa lagu lain seperti Langit Biru, Empayar, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Puas dan Berhenti Mencinta.

Dia juga turut menghiburkan peminat dengan segmen akustik dengan lagu Asmara dan Take Me Home.

TIDAK bergantung kepada kekuatan vokal semata-mata, skil komunikasi Amir dengan para penonton juga semakin menunjukkan kematangan dan peningkatan ketara.

Selaku figura berpengalaman, Amir mengakui dirinya kagum dengan dedikasi pelajar SPWinds yang berjaya mengiringi persembahannya dengan cemerlang meskipun berdepan kekangan pada masa latihan.

“Konsert ini bukan sahaja untuk saya sebenarnya untuk pelajar-pelajar juga. Susah kalau kita nak adakan konsert yang lebih 20 lagu tapi praktis hanya dua hari.

“Sebenarnya kita perlukan lebih dari empat sesi praktis tetapi saya percaya SPWinds pada hari biasa mereka ada ujian dan berlatih pada hujung minggu sahaja.

“Saya sangat menghormati dengan disiplin mereka sebab dari cara berlatih, memang betul-betul fokus.

“Mereka pun buat perkara ini sebab mereka suka dan minat dalam muzik. Daripada situ saya nampak dedikasi mereka, jadi saya tak risau,” jelasnya.

Konsert itu diakhiri dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Bohemian Rhapsody, Sengaja, Kau Sakiti, Nurcinta dan We Are The Champions.

Seperti sedia maklum, tujuan utama mengadakan konsert terbabit adalah untuk mencari dana bagi membolehkan SPWinds dan Amir menyertai pertandingan orkestra antarabangsa, World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadual berlangsung pada Julai depan di Kerkrade, Belanda.

Pada konsert tersebut, Perdana Menteri memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 sebagai tanda sokongan kepada SPWinds. Selain Anwar, konsert turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr. Aminuddin Hassim; Pengetua Sekolah Seri Puteri, Julaila Yahya dan Presiden Kumpulan Sokongan lbu Bapa KSIB, Shah Rizal Jazib.

AMIR turut menerima jambangan bunga daripada seorang peminat cilik ketika mendendangkan lagu Luar Kotak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN