KELESTARIAN sains tanah menjadi satu aspek yang penting dalam kehidupan kerana ia menjadi asas kepada keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.
Dalam mengukuhkan peranan sebagai institusi peneraju dalam agenda kelestarian sains tanah, Universiti Malaya (UM) muncul sebagai universiti perintis di Malaysia yang melaksanakan Universiti Malaya Soil Doctor Programme (UMSDP).
Program ini merupakan inisiatif pendidikan berasaskan Soil Doctors Programme (SDP) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) di peringkat global.
Malah, SDP bertujuan memperkasa komuniti melalui latihan pengurusan tanah secara mampan, pembinaan keupayaan tempatan serta pemindahan ilmu menggunakan pendekatan praktikal seperti ujian tanah di lapangan.
Program ini menekankan peranan ‘Soil Doctor’ sebagai ejen perkongsian ilmu dalam komuniti bagi membantu pembuatan keputusan yang lebih berkesan berkaitan kesihatan tanah, keselamatan makanan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.
Di Malaysia, pelaksanaan SDP diterjemahkan melalui mySOILDOCTOR (mySDP) yang diselaraskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia sebagai sekretariat di peringkat kementerian.
Program ini melibatkan petani yang dilatih untuk menjalankan ujian tanah secara mudah di lapangan serta membantu komuniti mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tanah bagi meningkatkan produktiviti tanaman.
Melalui kerjasama strategik antara UM dan Jabatan Pertanian Malaysia di bawah payung mySDP, UMSDP berperanan meluaskan capaian program ini kepada golongan belia sebagai kumpulan sasaran baharu dalam ekosistem pendidikan tanah negara.
Program ini diterajui oleh pensyarah UM yang juga merupakan Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia serta National Focal Point Global Soil Partnership, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah.
Menurutnya, UMSDP diperkenalkan sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman bagi memberi pendedahan awal kepada golongan muda, khususnya pelajar universiti, mengenai kepentingan tanah sebagai asas kepada keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen kerjasama strategik antara Jabatan Pertanian Malaysia dan institusi akademik seperti UM dengan menggabungkan penyelidikan saintifik dan amalan lapangan bagi memacu inovasi dalam pengurusan tanah negara,” katanya.

Tambahnya, penglibatan UM dalam pelaksanaan SDP merupakan langkah strategik untuk memastikan ilmu berkaitan tanah tidak hanya tertumpu kepada komuniti petani, malah turut difahami oleh generasi muda yang bakal menjadi pembuat dasar, penyelidik dan pemimpin masa hadapan.
Tanah merupakan sumber asas kepada keselamatan makanan dan kestabilan ekosistem dan melalui UMSDP, pendedahan awal dapat diberikan kepada golongan muda tentang fungsi tanah serta kepentingan penjagaan tanah dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Seiring dengan konsep asal SDP iaitu petani kepada petani, UMSDP turut mengadaptasi pendekatan yang sama melalui model mahasiswa kepada mahasiswa, di mana sekumpulan mahasiswa dilatih sebagai Soil Doctor dan seterusnya berperanan sebagai ejen perkongsian ilmu kepada rakan sebaya mereka.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, UMSDP telah membangunkan Kit Pendidikan Tanah atau Educational Soil Kits iaitu bahan dan kit pendidikan interaktif yang diadaptasi daripada modul SDP FAO bagi memudahkan pemahaman asas mengenai kesihatan tanah dalam kalangan pelajar, komuniti setempat dan masyarakat umum.
Komitmen UM dalam menjayakan UMSDP turut mendapat pengiktirafan apabila program ini dijemput oleh Jabatan Pertanian Malaysia untuk terlibat dalam Sambutan Hari Tanah Sedunia.
Program yang diadakan di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor baru-baru ini mengangkat tema global ‘Tanah Sihat untuk Bandar Sejahtera’, selaras dengan usaha negara mendepani cabaran urbanisasi, perubahan iklim dan keperluan memastikan keterjaminan makanan yang mampan.
Dalam program tersebut, Kit Pendidikan Tanah telah diperkenalkan kepada peserta sebagai medium pendidikan dan kesedaran awam, manakala reruai UMSDP turut dilawati oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Nor Sam Alwi yang menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan inisiatif ini.
Rosazlin berharap inisiatif perintis ini dapat diperluas ke institusi pengajian tinggi lain serta ke peringkat sekolah pada masa hadapan.
Terangnya, dengan sokongan FAO dan Jabatan Pertanian Malaysia, UMSDP dilihat sebagai usaha strategik dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap kepentingan penjagaan tanah, keselamatan makanan dan mitigasi perubahan iklim.
“UM komited untuk terus menerajui pengurusan tanah secara lestari bagi memastikan setiap inci tanah kekal produktif serta menjamin keterjaminan makanan negara untuk masa hadapan,” ujarnta.
Dalam pada itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar, Tew Jia Yu yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan UMSDP menyatakan bahawa pendekatan pembelajaran secara praktikal melalui Kit Pendidikan Tanah membantu meningkatkan kefahaman tentang hubungan antara tanah, pengeluaran makanan dan perubahan iklim.
“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja mempelajari teori berkaitan tanah, malah memahami bagaimana pengurusan tanah yang baik dapat menyumbang kepada keselamatan makanan dan mengurangkan kesan perubahan iklim,” jelasnya.














