fbpx
KEPUTUSAN Alif menyambung pengajian di IKM JB berjaya mengubah hidupnya.

Alumni IKM ‘pusing’ dunia kimpal di laut dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN hampir gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia tidak menghalang seorang bekas pekerja bengkel dari Mersing, Johor bangkit apabila ditawar bekerja dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa berpangkalan di Belanda.

Muhamad Alif Hamdi, 40, kini menjawat jawatan sebagai Jurutera Pemeriksa Dalam Air untuk syarikat antarabangsa, Boskalis Subsea.

Lebih membanggakan, hingga ke saat ini dia menjadi satu-satunya anak Malaysia yang diterima bertugas di syarikat berkenaan.

Tidak setakat itu, dia juga merupakan penerima Anugerah Ikon TVET @KPLB Bidang Kemahiran 2022 mewakili graduan Sijil Kimpalan dan Fabrikasi Logam dari Institut Kemahiran Malaysia Johor Bahru (IKM JB).

Mesra disapa sebagai Alif, kerjayanya sebagai jurutera membawanya bekerja di banyak negara seluruh dunia termasuk di Belanda, England dan Republik Congo selain beberapa negara di Asia Timur serta Asia Barat.

“Tugas saya banyak membabitkan kerja kimpalan di laut dalam.

“Selain menyelia kerja kimpalan, unit kami memerlukan kepakaran khas menyelam di laut dalam.

“Kerja ini membawa saya ke banyak negara termasuk Iraq dan beberapa wilayah di China dan Asia Barat,” katanya memulakan bicara bersama K-Kampus.

Akuinya, peluang dan kesempatan bekerja di Port Harcourt, Nigeria iaitu antara lautan paling berbahaya di dunia adalah satu pengalaman dan kenangan yang tidak akan dilupakan sampai akhir hayat.

Berkongsi kisah awal dirinya, Arif berkata, dia pernah berputus asa dengan hidupnya berikutan keputusan peperiksaan SPM yang tidak memberangsangkan hingga gagal melanjutkan pelajaran.

ALIF juga merupakan penerima Anugerah Ikon TVET @KPLB Bidang Kemahiran 2022 mewakili graduan Sijil Kimpalan dan Fabrikasi Logam dari KM JB.

“Oleh itu, saya membuat keputusan bekerja di sebuah bengkel baik pulih kenderaan di Mersing berikutan kecewa kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran seperti rakan-rakan yang lain.

“Namun, ketika bekerja di bengkel itu, rakan sekerja menasihatkan saya untuk menyambung pengajian dalam bidang vokasional kerana umur masih muda.

“Akur dengan nasihat rakan, saya memutuskan menyambung pengajian dalam bidang kimpalan dan fabrikasi logam di IKM JB pada 2003 dan keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada perubahan penting hidup saya ketika ini,” katanya.

Usai menamatkan latihan selama setahun setengah di IKM JB, dia berjaya menyambung pengajian ke peringkat diploma dan ijazah pertama dalam bidang sama di

Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI).

Menurut Alif, demi mengejar cita-cita bergelar jurutera dan memahami lebih lanjut pengajian yang diikuti, pada 2007 dia memulakan kerjaya sebagai jurukimpal dalam air dan pemeriksa kimpalan untuk menambah kemahiran serta mendalami bidang berkenaan.

“Ketika di universiti, setiap kali cuti semester saya mengambil peluang belajar dan kemudian bekerja sebagai penyelam komersial demi mencari pengalaman dan ternyata semuanya sangat berguna apabila memasuki alam pekerjaan.

“Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan ijazah pada tahun 2010 dan diberi kesempatan menimba pengalaman di beberapa negara di sekitar Asia sebelum ditawarkan bekerja di syarikat minyak dan gas antarabangsa itu sehingga kini,” katanya.

Alif menitipkan pesanan, bagi pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan SPM kurang memberangsangkan tidak harus menjadikannya sebagai halangan untuk berjaya.

Katanya, tidak salah bermula dari bawah dan cuba untuk memohon di mana-mana sahaja institusi kemahiran dan vokasional dalam negara mengikut minat masing-masing.

“Lihat sahaja, saya sendiri tidak pernah menyangka walaupun keputusan peperiksaan SPM dianggap teruk, saya mampu sampai ke tahap ini dan ada kerjaya membanggakan.

“Saya habiskan masa selama tujuh tahun sebelum berjaya menggenggam segulung ijazah dan bekerja dalam bidang yang diimpikan,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN