PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas yang dihanyutkan arus deras ditemui di Sungai Langat, kira-kira 11 kilometer dari lokasi dilaporkan jatuh, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Izman Adnan berkata, mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi menggunakan bot menyusuri sungai berkenaan.
“Alhamdulillah mangsa dijumpai pukul 12.17 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.
Menurutnya, ibu dan bapa mangsa telah membuat pengecaman di lokasi penemuan.
Mangsa ditemui oleh anggota PPDA Bomba yang menyusuri Sungai Langat dengan menaiki bot.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum,9, dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras ketika mengambil bola dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras, Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE














