AMIR FAIZ yang dinobatkan sebagai juara bergambar bersama replika bunga raya rekaannya yang bakal dibina dalam bentuk monumen setinggi lapan meter dengan mirror finish. – FARIZ RUSADIO

Amir Faiz juara ART@TRX, mercu tanda bunga raya bakal terbina di ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA diteliti, replika bunga raya rekaan itu hadir dengan lengkungan yang bulat dan organik, seakan-akan membawa sifat semula jadi yang lembut tetapi tetap berstruktur.

Pendekatan rekaan ini berkembang ke arah kontemporari dengan inspirasi yang turut dipetik daripada bentuk logo Tun Razak Exchange (TRX) yang bersifat segi tiga, tajam dan berjiwa moden.

Kelopak-kelopak besar lapisan pertama bunga itu melambangkan asas yang merujuk kepada generasi terdahulu, yang menjadi tunjang kepada pembentukan kepercayaan serta landasan awal rekaan ini.

Sementara itu, kelopak-kelopak kedua membawa makna masa depan dan revolusi seiring dengan perkembangan yang menggerakkan masyarakat ke arah yang lebih moden.

Bahagian stigma (kepala putik) yang menghala ke atas pula melambangkan aspirasi Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan, menuju kemajuan dan kemodenan seiring peredaran masa.

Falsafah bunga ini turut selari dengan bahasa visual dalam seni Melayu tradisional yang sering menjadikan unsur flora sebagai lambang keindahan, keharmonian dan keseimbangan alam.

Maka tidak hairanlah, rekaan ini terpilih sebagai pemenang pertandingan reka bentuk arca atau skulptur bagi program penambahbaikan ruang awam TRX dan membawa pulang hadiah sebanyak RM50,000.
Rekaan replika pemenang kemudian akan dijadikan mercu tanda arca di TRX.

Pereka karya replika bunga raya tersebut, Amir Faiz berkata, metafora bunga raya itu merujuk kepada sebuah negara yang terbina daripada kepelbagaian kaum, di mana setiap lapisan masyarakat memain peranan dalam membentuk identiti bersama.

“Walaupun bunga raya sering disebut sebagai lambang perpaduan, saya merasakan belum pernah wujud satu bentuk yang benar-benar mengangkatnya dalam skala besar di ruang awam. Oleh itu, setiap elemen rekaan ini membawa makna bahawa Malaysia dibina secara kolektif dari generasi muda hinggalah ke generasi yang lebih tua,” katanya.

Replika bunga raya tersebut dicipta Amir Faiz secara cetakan tiga dimensi (3D).

“Mengikut idea asal pihak penganjur, monumen ini dirancang untuk didirikan setinggi kira-kira lapan meter dengan penggunaan material keluli tahan karat berkemasan mirror finish.

“Permukaan berkilatnya menjadikan struktur ini mampu memantulkan cahaya dan persekitaran, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada landskap bandar yang sentiasa berubah mengikut sudut pandang pemerhati,” katanya kepada CitaRasa ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Reka Bentuk Arca ART@TRX di Ruang Teduh Gallery, Menara Exchange 106, Persiaran TRX.

Untuk pengetahuan, pemaju induk TRX, TRX City Sdn. Bhd., sebelum ini menganjurkan pertandingan reka bentuk arca sebagai sebahagian program peningkatan ruang awamnya.

Tema pertandingan reka bentuk ini, Intersection of Exchanges, selari dengan TRX sebagai hab ekonomi serta destinasi gaya hidup dan budaya.

Rekaan arca yang memenangi pertandingan ini perlulah menzahirkan makna kehidupan di persimpangan antara aspirasi global dan jiwa tempatan serta mencerminkan gabungan seni bina bandar dan alam semula jadi.

Pemenang akan bekerjasama dengan panel juri, pasukan TRX serta para penaja sepanjang proses penghasilan akhir mercu tanda tersebut.

Hasil akhir itu kemudiannya akan ditempatkan di lokasi yang menonjol agar dapat dilihat oleh orang awam.

Secara keseluruhan, program tersebut menerima lebih 100 penyertaan dari seluruh negara.

Salah seorang juri yang juga seorang artis arca terkemuka Malaysia, Ramlan Abdullah berkata pemenang dipilih kerana karya yang jelas dari segi konsep dan pelaksanaan.

“Amir menonjol kerana mampu menggabungkan aspek identiti, lokaliti dan makna. Karya yang menang menggunakan metafora bunga sebagai simbol nasional yang kuat.

“Semua peserta sebenarnya mempunyai potensi dan identiti tersendiri. Karya berjaya ialah yang mudah difahami tetapi masih inovatif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN