PETALING JAYA – Rezeki buat seorang jemaah lelaki warga Malaysia apabila dijemput menghadap Ilahi di Tanah Suci Mekah pada hari yang penuh barakah, semalam.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @norsi_shukor, bapa mentuanya dilaporkan meninggal dunia pada hari Jumaat kira-kira pukul 11.30 pagi pada waktu tempatan semalam.
Lebih menyayat hati, Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya di Masjidil Haram salah satu tempat suci bagi umat Islam.
“Dikhabarkan ayah mentua saya baru sahaja meninggal dunia pada hari ini (semalam), Jumaat pukul 11.30 pagi waktu Mekah di Masjidil Haram. Semoga abah ditempatkan bersama-sama orang soleh dan para nabi,” katanya dalam hantaran tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Orang ramai menyifatkan pemergian ini sebuah pengakhiran yang sangat indah dan dicemburui oleh ramai pihak.
“Salam takziah, alhamdulillah pengakhiran baik, di bulan yang baik dan di tempat yang sangat baik juga,” kata pengguna @nuluuuuu.
“Al-Fatihah untuk arwah. Beruntungnya Allah pilih pak cik meninggal di sana, mesti pak cik masa hidup baik orangnya sampaikan mulia sungguh pak cik pergi di hari yang barakah ini,” kata pula pengguna @nor_amirah_mazlan.
Dalam pada itu, arwah dilaporkan akan disolatkan oleh para petugas dan jemaah pada esok atau lusa di Masjidil Haram ini.
“Apa pun kita tunggu makluman dari pihak pengurusan, ramai mendoakan dan cemburu atas pemergian ini,” kata @firdausrock dalam hantaran balasnya.
Kosmo! melaporkan, seorang lelaki dari Pahang menjadi jemaah haji pertama Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci hari ini selepas rebah ketika ingin menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Allahyarham yang berusia 65 tahun ketika itu berada di dataran Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
Pasukan perubatan segera memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah. – KOSMO! ONLINE














