PETALING JAYA – Marine & General Bhd (M&G), syarikat perkhidmatan sokongan marin luar pesisir, telah melantik Abdul Hafidz Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi anak syarikatnya, Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd (Jasa Merin), berkuat kuasa semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Abdul Hafidz menggantikan Mohd Noor Ismardi Idris, yang akan bersara selepas tamat tahun kewangan semasa, selaras dengan pelan peralihan kepimpinan berstruktur M&G.
“Pelantikan ini menandakan kemuncak inisiatif peralihan kepimpinan yang dirancang selama beberapa tahun dan diluluskan oleh lembaga pengarah pada 2022, yang direka bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan operasi jangka panjang merentasi segmen huluan dan hiliran kumpulan itu.
“Di bawah struktur baharu ini, Abdul Hafidz akan memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas JMM dan terus menyelia kedua-dua segmen itu dengan sokongan pasukan kepimpinan operasi yang diperkukuh,” jelas kenyataan tersebut.
Abdul Hafidz menyertai M&G pada 2018 dan telah memegang beberapa jawatan kepimpinan utama sejak 2022, termasuk Ketua Pegawai Operasi Segmen Hiliran JMM dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif JMM.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif M&G, Tan Sri Mohd Azlan Hashim berkata peralihan kepimpinan ini mencerminkan kekuatan kerangka perancangan penggantian Kumpulan dan komitmennya terhadap pembangunan bakat dalaman.
“Kami yakin pasukan ini akan meneruskan asas kukuh yang telah dibina oleh Mohd Noor Ismardi, yang mana kepimpinan dan sumbangan beliau selama ini telah menjadi nadi kepada pertumbuhan kumpulan.
“Peralihan ini meletakkan kumpulan pada kedudukan yang baik untuk kestabilan kepimpinan yang mampan dalam tempoh dekad akan datang, sekali gus memperkukuh hala tuju strategik jangka panjang kami,” tambah beliau. -KOSMO! ONLINE














